Thursday, July 15, 2010

Sembahyang

CARA MENGERJAKAN SEMBAHYANG DI DALAM KAPAL TERBANG

Di dalam penerbangan penumpang tidak dibenarkan mengambil air sembahyang kerana akan menyebabkan air yang banyak tertumpah ke lantai yang akan membahayakan penerbangan. Di masa-masa tertentu, penumpang juga hendaklah mematuhi arahan supaya duduk dan memasang tali pinggang keledar di kerusi masing-masing bagi menjaga keselamatan semasa penerbangan. Berdasarkan sebab-sebab di atas para ulama berpendapat cara-cara sembahyang di dalam kapal terbang bolehlah dibuat seperti berikut :

1. Sembahyang dilakukan bagi menghormati waktu iaitu dengan isyarat sahaja di mana kita seolah-olah berada dalam keadaan tidak dapat bergerak seperti mana orang yang terikat pada pokok. ( Tidak perlu ada air sembahyang, tidak perlu menghadap Kiblat dan tidak perlu mengikut syarat-syarat sah lain yang diperlukan ).

2. Apabila turun di Lapangan Terbang dan waktu masih ada, wajiblah sembahyang berkenaan diulang semula dan jika sudah habis waktu, wajiblah sembahyang berkenaan diqadatkan.




Oleh:Yussamir Yusof Aljohori
20 Syawal 1428H
Cyberjaya
http://www.yussamir.com



“Macam mana nak solat kalau kita berada dalam kapal terbang nanti ek?”
“Ala..buat jamak dan qasar je la”Jawab.
“Waktu lain boleh la,tapi kalau waktu subuh macam mana?”


Dialog ini selalu kita dengar,namun tidak ramai yang mengambil berat
akan hal ini.Kebiasaannya jawapan yang muncul ialah “Kita Qada’ je solat
tu”.Jawapan itu kadangkala bukan hanya muncul dari orang biasa,tetapi ia juga
keluar dari mereka yang di anggap alim oleh masyarakat awam.Sepatutnya hal ini
tidak boleh terjadi dewasa ini.Membicarakan hal ehwal agama bukanlah semudah
membiacarakannya di warung-warung kopi.Tetapi ia memerlukan
Ilmu,penelitian,pertimbangan dan keberhatian.Melihat akan bermudah-mudahnya
manusia dalam membicarakan hal agama terutama mengenai hukum-hakam,membuatkan
penulis insaf dan malu kepada Allah.


Hal ini tidak pernah terjadi pada zaman para sahabat dan juga pada zaman
kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu.Ketika itu,sesuatu hukum yang
ingin dihebahkan akan dikaji dan diteliti dalam-dalam berdasarkan Al-Quran dan
Sunnah.Semua ini dilakukan oleh kerana takutnya mereka akan ancaman Allah
keatas mereka yang membicarakan sesuatu tanpa pengetauan.


Hal ini dinyatkan oleh Allah dalam
Surah Al-A’araf:


“Dan mengharamkan mengada-ada
terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”


Ibnu Sirin pernah mengatakan bahawa “mati itu lebih baik daripada
mengatakan sesuatu yang dia tidak ketahui”.Selain daripada Ibnu Sirin,seorang
sahabat besar Nabi iaitu Saidina Abu Bakar juga pernah mengatakan “Langit
manakah yang akan menaungiku dan bumi manakah yang menampungiku,jika aku
mengatakan sesuatu yang tidak aku ketahui”.Oleh itu,penulis berharap,kita semua
dapat mencontohi sikap mereka yang sangat berhati-hati dalam mengeluarkan
sesuatu hukum.

Untuk menjawab persoalan dialog diatas,penulis membahagikannya kepada 3
bahagian.Pembahagian ini akan memudahkan pembaca menteliti dan menilai
hujah-hujah yang akan dikemukan.Setiap hujah akan disertakan dengan dalil dari
Quran dan Sunnah.Selain daripada itu,setiap hujah juga akan disertakan rujukan
di bahagian nota kaki.Semua ini dilaksanakan agar para pembaca dapat
mengkajinya secara lanjut.





Bahagian pertama:Hukum menghadap kiblat didalam
pesawat.


Telah sepakat bahawa menghadap kiblat adalah perkara wajib apabila ingin
menunaikan solat fardhu yang lima.Ini telah dinyatakan Allah didalam Surah
Baqarah:149-150 yang bermaksud:

Dan dari mana saja kamu keluar
(datang), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram, sesungguhnya
ketentuan itu benar-benar sesuatu yang hak dari Tuhanmu. Dan Allah sekali-kali
tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan. Dan dari mana saja
kamu (keluar), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana
saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya, agar tidak
ada hujjah bagi manusia atas kamu, kecuali orang-orang yang zalim diantara
mereka. Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku (saja).
Dan agar Ku-sempurnakan nikmat-Ku atasmu, dan supaya kamu mendapat petunjuk.





Selain daripada itu,hujah ini diperkuatkan lagi dengan Sabda Nabi yangbermaksud:

Baitullah ialah qiblat bagi penduduk
(yang berada sekitar) Masjidil Haram, dan Masjidil Haram ialah qiblat bagi penduduk
(yang berada sekitar) tanah suci Mekah, sedangkan tanah suci merupakan qiblat
bagi penduduk bumi dari umatku baik yang ada di sebelah timur mahupun di
sebelah barat[url=#_ftn1][1][/url].


Berdasarkan hadis diatas,Syeikh Dr Wahbah Zuhaili menafsirkan bahawa
“Menghadap kiblat dengan tepat adalah wajib bagi mereka yang berada disekitar
Masjidil Haram.Manakala bagi mereka yang jauh dari Makkah,memadailah menghadap
ke arah Makkah sebagai menetapi syarat hukum[url=#_ftn2][2][/url].

Mencari arah kiblat adalah suatu kewajiban bagi mereka yang mahu
mendirikan solat.Pelbagai cara dan kaedah boleh dilakukan bagi menentukan arah
kiblat dewasa ini. ‘Tidak tahu’ bukan lagi alasan kukuh bagi kita pada zaman
kini.Teknologi satelit,kompas dan sebagainya memungkinkan kita untuk
mengetahuinya dengan mudah.Oleh itu,tidak sah solatnya jika seseorang solat
tanpa menghadap kiblat dengan alasan tidak tahu!Hal ini tidak dipandang sebagai
keuzuran tetapi dipandang sebagai suatu hal yang mempermainkan agama.Sebagai
seorang Muslim,menyediakan peralatan untuk solat adalah perkara utama yang
perlu difikirkan apabila ingin bermusafir.Ini semua untuk mengelakkan kita
dipertanggungjawab di Akhirat nanti.


Namun jika semua usaha telah dilakukan masih gagal untuk menentukan arah
kiblat terutama didalam pesawat,maka dibenarkan untuk mengangarkan arah
kiblat setepat mungkin.Hujah ini berdasarkan hadis di bawah yang bermaksud:







Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu
menerangkan: Kami pernah solat di satu malam yang mendung dan kami tidak
mengetahui arah qiblat. Tatkala kami selesai solat kami perhatikan bahawa kami
(sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah qiblat. Lalu kami sampaikan hal ini
kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam lalu beliau berkata: Kamu telah
melakukan yang terbaik. Seterusnya Jabir berkata: Dan beliau tidak menyuruh
kami mengulanginya[url=#_ftn3][3][/url]


Berdasarkan kepada hadis diatas,para Fuqaha telah bersepakat bahawa
solat tetap wajib dilaksanakan walaupun tidak menghadap kiblat.Walaubagiamanapun,status
hadis diatas dinilai tidak sahih oleh Imam Shafie ,dan menurut Mazhab shafie wajib
untuk mengulangi solat tersebut setelah mengetahui arah kiblat[url=#_ftn4][4][/url].Setelah
mengetahui hadis diatas dinilai Tidak Sahih oleh Imam Shafie,penulis cuba
membuat beberapa semakan dalam beberapa pendapat yang lain.Akhirnya penulis
mendapati bahawa mujtahid mutakhirin
mendapati bahawa hadis diatas adalah sahih kerana terdapat banyak sumber
serta jalan periwayatannya.Hadis-hadis yang dijumpai juga saling kuat-menguat
antara satu sama lain,sehingga menjadikannya bertaraf sahih[url=#_ftn5][5][/url].Imam
Syaukani dan Imam Shana’ni juga menilainya sahih dalam Nailul Authar dan
subus-salam.



Bahagian dua:Semampu yang mungkin.


Hal ini sering terjadi kepada mereka yang berada di dalam pesawat.Dengan
keadaan pesawat yang sempit(Kecualilah kapal terbang yang bersaiz besar seperti
Airbus A380),anak-anak kapal yang sibuk menjalankan tugas dan pelbagai lagi
tidak memungkinkan seseorang itu untuk mendapat ruang untuk solat.Apa yang
boleh dilakukan adalah hanya duduk dikerusi.Dalam hal ini penulis tidak menemui
jalan yang mudah. Dr Ahmad As-Syarbaasi iaitu Tokoh Feqh dari Universiti
Al-Azhar menegaskan bahawa seseorang itu wajib berusaha untuk solat sesempurna
yang mungkin(iaitu,berdiri,ruku’ dan sujud dilakukan secara sempurna).Malahan
kata beliau,jika pesawat itu bergerak ke arah lain maka orang yang bersolat itu
juga perlu menukar arah kiblatnya.


Namun jika tidak diketahui kearah mana pesawat bergerak maka dibolehkan
untuk tetap pada arah asal.Ketegasan Dr
Ahmad ini bersandarkan kepada maksud hadis:

Apa yang aku tegah kamu darinya maka
hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah
kamu mengerjakannya sekuat mampu[url=#_ftn6][6][/url].


Menurut Dr. Syarbashi dalam huraian bab yang sama, solat seseorang itu
adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi kerana telah berusaha sekuat mampu untuk menghindari
semua kesukaran yang wujud disamping niat yang ikhlas.


Bahagian ketiga:Solat dengan cara duduk?

Solat secara duduk adalah salah satu kemudahan yang disediakan Islam
kepada penganutnya.Ini juga membuktikan kepada penganut agama lain bahawa,umat
Islam boleh melaksanakan ibadahnya walaubagaimanapun keadaan seseorang itu.Pada
asalnya solat itu diwajibkan dilaksanakan dengan berdiri tegak.Ini bersandarkan
kepada Firman Allah yang bermaksud:


Peliharalah semua
shalat(mu), dan (peliharalah) shalat gusta.Berdirilah untuk Allah (dalam
shalatmu) dengan khusyu'[url=#_ftn7][7][/url]


Namun begitu,terdapat beberapa sebab yang
membolehkan seseorang itu solat tanpa berdiri.Antara sebab yang dibenarkan
seperti yang dijelaskan dalam hadis adalah;Sakit sehingga tidak membolehkan
seseorang itu berdiri,kesukaran dan dalam keadaan berbahaya.

Bagi seseorang yang sakit sehinggakan tidak
mampu,dia dibenarkan solat secara duduk ataupun semampu yang dia boleh.Ini
bertepatan dengan sabda Nabi yang bermaksud:

Solatlah dengan
berdiri,kalau tidak mampu maka duduklah,kalau masih juga tidak mampu maka
berbaringlah dengan posisi miring.[url=#_ftn8][8][/url]

Menurut Saiditina Aisyah,isteri Nabi
Muhammad,cara duduk yang dilakukan Nabi adalah dengan bersila.[url=#_ftn9][9][/url]Walaubagaimanapun,tidak
mengapa jika seseorang itu tidak bersila,ikutlah sekadar mana yang
mampu.Manakala bagi mereka yang mampu berdiri tetapi mempunyai masalah untuk
rukuk dan sujud,maka memadailah melakukannya dengan Isyarat.Panduan ini
diajarkan Nabi dalam satu hadis yang bermaksud:

Jika mampu bersujudlah di atas
tanah,dan jika tidak mampu maka berisyaratlah dengan jelas atau jadikan sujudmu
lebih rendah dari ruku’ mu.[url=#_ftn10][10][/url]

Ramai yang runsing berkenaan dengan kesempurnaan solat jika dilakukan
selain dengan berdiri.Sebenarnya,solat secara duduk jika ada keuzuran diterima
dan solat tersebut adalah sempurna[url=#_ftn11][11][/url].Namun,pahalanya
kurang separuh daripada mereka yang solat dengan berdiri.Ini bertepatan dengan
sabda Nabi yang bermaksud:

Pahala orang yang solat duduk
separuh daripada mereka yang solat dengan berdiri[url=#_ftn12][12][/url]

Selain daripada sakit,kesukaran dan dalam keadaan bahaya juga diberi
kelonggaran untuk melakukan solat dengan duduk.Kesukaran ini biasa dihadapi
mereka yang berada dalam keadaan bergerak.Terutama dalam kapal terbang.Biasanya
perkara yang dihadapi adalah,ruang yang sempit yang tidak mengizinkan solat
dengan berdiri, dan pergerakan yang melampau sehinggakan sukar untuk berdiri.Dalil
yang jelas membenarkan ia dilakukan adalah berdasarkan hadis Nabi yang
bermaksud:

Seorang sahabat telah bertanya
kepada Nabi “Bagaimanakah cara melakukan solat dalam perahu?” Kemudian Nabi
bersabda: “bersolatlah dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam.[url=#_ftn13][13][/url]



Hadis diatas ini menjadi dalil bolehnya bersolat di atas kenderaan,tidak
Kira apa jenis kenderaan sekalipun.Kerana ilat (tujuan hadis) bukanlah
berkenaan hukum perahu tetapi ialah kebolehan pelaksanaan solatt di atas
kenderaan.[url=#_ftn14][14][/url]


Kesukaran lain yang turut dinyatakan dalam hadis,ialah mengelakan diri
dari hujan lebat.

Nabi pernah melaksanakan solat
secara duduk di atas kenderaan dengan hanya sebab untuk mengelakkan diri
daripada hujan lebat.Sabda Nabi yang bermaksud:

Ya’la
bin Murah ra bersama Nabi dalam satu perjalanan,kemudian sampai di satu
lembah.Ketika itu Nabi di atas kenderaan tunggangannya.Langit ketika itu
mendung dan tanah sangat basah.Kemudian masuk waktu solat,Baginda memanggil
muazin lalu muazin azan dan iqamah.Setelah itu,Nabi meneruskan solatnya di atas
kenderaan dan bersolat secara berjamaah dengan para sahabat.Baginda memberi
isyarat dimana sujudnya lebih rendah dari ruku’nya.[url=#_ftn15][15][/url]


Keadah perlaksaan solat fardhu
diatas kapal terbang sama sahaja seperti solat di darat.Cumanya,ada kesukaran
yang timbul maka ,kesempurnaan gerak solat itu juga berkurangan selari dengan
kadar kesukaran yang dihadapi.Perlaksanaannya juga sama sahaja dengan kaedah
solat bagi mereka yang sakit,seperti menudukkan kepala lebih sedikit ketika
sujud,bagi membezakan sujud dengan ruku’.


Akhir sekali,penulis menyeru kepada
semua agar bersikap adil dan benar dalam hal memilih keadah melaksanakan solat
sama ada secara berdiri atau duduk.Tidak sah solat bagi mereka yang sengaja
solat secara duduk tanpa ada keuzuran yang dibenarkan.Namun jika segala daya
dan usaha telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh,maka dirikanlah solat
dengan semampu yang mungkin.Tidak perlu di Qhada’ ataupun diulanginya semula.



Firman Allah:

“(Allah) telah memudahkan untuk kamu
apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya.” (al-Jatsiyah:
13)


#Penulisan ini
adalah hasil kajian dan pemahaman penulis, dan sebagai manusia, penulis tetap
melakukan kesilapan. Jika terdapat pemahaman yang silap, maka tegurlah
kesilapan itu.

No comments:

Post a Comment